Rabu, 12 November 2014

RENDANG TELUR AYAM & SAYUR KACANG GORENG KENTANG BERLADA


Assalamualaikum & salam sejahtera kepada pembaca blog saya yang rajin-rajin belaka. Bulan November kali ini seperti bulan yang sangat menyejukkan kerana hampir setiap petang hujan akan turun membasahi bumi tempat tinggal kami.

Maka, idea pun mencurah-curah seperti di ladang gandum untuk memasak di dapur kesayangan, hehehe. Ada saja menu istimewa yang ingin disajikan untuk suami tercinta. Almaklumlah, usia perkahwinan hampir masuk pada tahun pertama. Orang tua kata masih berbunga lagi. Mudah-mudahan akan kekal berbunga selamanya. Cewah!!!

Untuk pertama kalinya, ingin saya kongsikan resipi bonda iaitu Rendang Telur Ayam. Resipi rendang adalah yang asli daripada emak yang diperturunkan oleh nenek. Kami adalah keturunan Jawa! Tetapi, saya ubah dengan menggunakan telur & daun kunyit (resipi asal menggunakan daun limau purut)

RENDANG TELUR AYAM

RESIPI RENDANG TELUR AYAM
oleh : puan farah makmor

1. Telur ayam (direbus & dikupas kulit)
2. Kerisik
3. Ketumbar & jintan putih (disangan & ditumbuk)
4. Lada kering (dikisar)
5. Bawang putih, bawang kecil merah, halia (dikisar)
6. Rempah tumis
7. Daun kunyit atau daun limau purut (dikoyak atau dihiris halus)
8. Serai (diketuk)
9. Santan kelapa
10. Asam jawa, gula & garam


Telur ayam 

Kerisik 

Ketumbar & jintan putih yang disangan

Ketumbar & jintan putih yang ditumbuk

Bawang kecil merah, bawang putih, halia

Daun kunyit, serai & rempah tumis


CARA-CARA MEMASAK:
1. Tumis bahan no. 5 bersama lada kering sehingga naik bau.
2. Masukkan rempah tumis & serai. Kemudian tumis bersama kerisik, ketumbar & jintan putih yang telah disangan sehingga rata.
3. Tuang santan dan taburkan sedikit sahaja hirisan daun kunyit.
4. Pastikan api dalam keadaan sederhana. Apabila kuah mula mendidih, masukkan kesemua telur ayam.
5. Kacau sehingga kuah menjadi sedikit pekat, bubuh sedikit air asam jawa.
6.Tambahkan sedikit garam & gula mengikut citarasa anda.
7. Angkat dan hidangkan dengan taburkan baki hirisan daun kunyit.

TIPS:
1. Kerisik hendaklah segera ditumbuk selepas digoreng tanpa minyak di dalam kuali.
2. Proses membuat kerisik & sangan hendaklah menggunakan api yang kecil.
3. Lebihkan kuantiti lada kering jika inginkan rendang anda pedas dan tambahkan gula untuk mendapatkan citarasa pedas-manis.



Sajian sayuran ini pula saya buat ringkas sahaja sebab perut dah lapar sangat. Dah macam lauk hari raya pula kan. Nasib baik tak buat ketupat segera. Kami makan dengan nasi putih biasa sahaja. Nama resipi sayuran ni saya letak sendiri. Kebiasaannya dipanggil dengan gelaran sayur goreng. Saja nak bagi glamour!hehe

RESIPI SAYUR KACANG GORENG KENTANG BERLADA

oleh : puan farah makmor

1. Kacang panjang (dihiris serong)
2. Ubi kentang (dihiris nipis & digoreng)
3. Sooh hoon (direndam)
4. Lada besar merah (dihiris)
5. Bawang besar (dihiris)
6. Bawang putih (dihiris)
7. Halia (dihiris)

CARA-CARA MEMASAK:
1. Tumis bawang besar, bawang putih, halia & lada besar merah.
2. Masukkan kacang panjang& kentang yang telah digoreng terlebih dahulu.
3. Tuang sedikit sahaja air masak.
4. Masukkan sooh hoon yang telah direndam.
5. Tambahkan sedikit garam mengikut citarasa anda.
6. Hidangkan.

TIPS:
1. Kentang digoreng terlebih dahulu supaya lembut.
2. Sooh hoon tidak perlu banyak kerana ia hanya sebagai hiasan hidangan.

SELAMAT MENCUBA !


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HIKMAH SEBUAH KEHILANGAN