Selasa, 15 April 2014

TIP LANCAR URUSAN RUMAHTANGGA




Zaman moden masa kini, tentu sekali kehidupan berkeluarga sangat mencabar untuk digalas oleh suami dan isteri. Apatah lagi, jika sesebuah keluarga itu telah berkembang dengan kehadiran zuriat yang mungkin ramai. Keperluan daripada aspek ekonomi mendesak mereka untuk berusaha lebih keras dalam memenuhi keperluan harian. Tidak kiralah sama ada yang tinggal di kawasan bandar metropolitan mahupun luar bandar.

Suami dan isteri bekerja bukanlah fenomena baru lagi kerana mereka berganding-bahu demi 'mencukupkan apa yang tidak cukup'. Ada yang menjalankan perniagaan tidak kurang juga yang berkhidmat dalam pelbagai sektor. Semuanya berlaku di luar rumah. Bagaimana pula keadaannya apabila kembali ke rumah? Adakah tanggungjawab itu diletakkan sepenuhnya di bahu isteri? Membasuh baju, menyapu lantai, memasak, membasuh pinggan-mangkuk, mengemas rumah dan mengurus anak-anak menjadi tanggungjawab siapa? Suami atau isteri? Jawapan sebenarnya ada di dalam akal fikiran anda. TEPUK DADA, TANYA IMAN.

Sebahagian mentaliti kaum lelaki berpendapat bahawa semua itu tanggungjawab isteri kerana sejak kecil lagi ibu telah menerapkan nlai-nilai kerajinan melakukan kerja rumah kepada anak perempuan. Manakala anak lelaki didedahkan dengan kerja berat di luar rumah seperti membantu ayah di kebun. Sebahagiannya pula berpendapat seseorang lelaki itu boleh dan mampu melakukan apa yang kaum  isteri selalu lakukan. Inilah yang dikatakan adanya anjakan paradigma sebagai seorang suami yang juga ketua keluarga. Tentu sekali kaum isteri berasa seronok jika dikurniakan suami yang faham tentang konsep bekerjasama. Didoakan mudah-mudahan para suami di luar sana menjadi suami yang hebat untuk isteri anda yang hebat.

Janganlah kita sempitkan fikiran dan pandangan kita tentang siapa yang perlu buat atau itu tanggungjawab siapa. Sememangnya, ia adalah tanggungjawab bersama. Kita telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t untuk hidup bersama, maka hendaklah kita melakukan apa sahaja perkara bersama agar ada keberkatan dan kenikmatan di situ. Berikut, saya senaraikan beberapa tip bagi memudahkan urusan dalam rumahtangga:

1. Memasak: Bahan-bahan asas masakan seperti bawang, halia, ikan bilis dan cili hendaklah dikisar untuk kegunaan seminggu. Bahan-bahan mentah lain seperti ikan, daging dan ayam boleh dibungkus berasingan mengikut kekerapan penggunaan dalam seminggu. Sayur-sayuran juga boleh dipotong dan disimpan. Mudahkan?

2. Menu untuk seminggu: Cuba sediakan sebuah buku nota kecil untuk anda rancang menu masakan seminggu. Selepas itu bolehlah beli bahan-bahan mengikut menu yang telah dirancang. Secara tidak langsung, pembaziran wang & masa dapat dielakkan.

3. Jadual kerja: Sediakan jadual kerja yang disusun mengikut keutamaan. Tujuannya untuk keberkesanan tugas. Tandakan tugas-tugas yang telah selesai dilaksanakan.

4. 3M: Jika boleh, aktiviti membasuh, mengangkat & melipat baju hendaklah dilakukan pada hari yang sama. Sikap bertangguh boleh menyebabkan kain-kain baju menggunung tingginya.

5. Doa: Banyakkan berdoa dan memohon kepada Allah s.w.t bagi menghadirkan kekuatan, kesabaran & keikhlasan dalam melakukan rutin rumahtangga yang mencabar ini..

"...SEANDAINYA TIDAK TERPAHAT IMAN DI HATI, NESCAYA AKAN TERASA BEBAN MENJALANKAN SEMUA ITU. SEANDAINYA TIDAK MENGGUNUNG HARAPAN KEPADA PERMATA HATI TERCINTA UNTUK TUMBUH MENJADI GENERASI SOLEH DAN SOLEHAH, NESCAYA KITA TIDAK AKAN SANGGUP MENJALANI HARI-HARI TANPA UPAH & GAJI. SEANDAINYA BUKAN KERANA INGIN MERAIH REDHA ILAHI, NESCAYA KITA AKAN MENSIA-SIAKAN BAKTI KEPADA KELUARGA YANG DIBINA. DAN, SEANDAINYA TIADA BIDADARI ATAU BIDADARA SYURGA YANG AKAN CEMBURU KEPADA ISTERI SOLEHAH ATAU SUAMI SOLEH, NESCAYA TIDAKLAH KITA BERSUSAH PAYAH. HANYA ALLAH SEBAIK-BAIK PENILAI USAHA KITA..."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HIKMAH SEBUAH KEHILANGAN